Anwar: Pelaburan KWAP Dalam eFishery Mangsa Penipuan Terancang, Laporan Kewangan Dimanipulasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, berpunca daripada satu penipuan yang dirancang secara sistematik termasuk manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusannya.

Menurut beliau, keputusan KWAP untuk melabur dalam syarikat berkenaan dibuat mengikut prosedur penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan, berdasarkan maklumat yang ketika itu disahkan, termasuk penyata kewangan yang telah diaudit oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebelum pelaburan dimuktamadkan, konsortium pelabur yang disertai KWAP turut menjalankan proses usaha wajar (due diligence) secara bebas bagi memastikan semua maklumat yang dikemukakan lengkap serta sahih.

Beliau menjelaskan, eFishery bukan sahaja menarik minat KWAP, malah turut menerima pelaburan daripada beberapa institusi dan dana teknologi antarabangsa terkemuka seperti Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar yang masing-masing mempunyai mekanisme penilaian, kawalan serta tadbir urus pelaburan bertaraf global.

Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis bagi menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) mengenai bentuk pertanggungjawaban terhadap Ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP susulan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.

Mengulas tindakan susulan, Anwar berkata konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa langkah tegas merangkumi tindakan undang-undang, usaha mendapatkan semula dana, semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh mekanisme kawalan.

Beliau berkata, KWAP juga telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap keseluruhan proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan tersebut sebelum hasilnya dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan lanjut.

Katanya, susulan semakan itu, tindakan sewajarnya telah dilaksanakan selaras dengan rangka kerja tadbir urus serta prinsip akauntabiliti institusi.

“KWAP kekal komited mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, KWAP dilaporkan melaburkan sebanyak AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023. Syarikat itu dipromosikan sebagai syarikat teknologi akuakultur yang menawarkan penyelesaian moden bagi industri penternakan ikan dan udang.

Bagaimanapun, tahun lalu pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

BBerkaitan

Latest articles