KUALA LUMPUR: PKR mahu memberi peluang kepada muka-muka baru untuk mengisi lapisan kepimpinan parti, demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjawab kritikan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, Anwar mengingatkan bahawa tidak semua perjuangan perlu dilihat berdasarkan kelayakan untuk bertanding.
“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.
“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya di sidang media selepas menghadiri Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), hari ini.
Terdahulu, Tian Chua memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti.
Beliau mendakwa ramai yang kecewa dengan senarai calon-calon PKR bagi PRU15 sedangkan ia perlu bersikap inklusif.
Antara nama-namw bekas ahli Parlimen PKR yang tidak dipertandingkan seperti yanh diumumkan malam tadi adalah, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Datuk Seri Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).
Dalam pada itu Anwar berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap teguran Tian Chua kerana beranggapan bekas ahli Parlimen Batu itu mempunyai banyak jasa dan khidmatnya kepada parti.
“Semalam saya jumpa dia sebentar dengar pandangan beliau.
“Sepertimana saya sebut dalam ucapan (pengumuman calon PKR semalam), tidak boleh semua dikekalkan. Kalau dikekalkan semua orang beri sumbangan jadi generasi baru tak mungkin bangkit,” tambahnya.