SEPANG: Sokongan dan doa orang ramai menjadi sumber kekuatan kepada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam menghadapi proses perundangan yang sedang dilaluinya.
Menghargai keprihatinan masyarakat, Mohd Shuhaily merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mengirimkan mesej serta mendoakan kesejahteraannya.
“Jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan dari sudut doa dan kiriman mesej,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, hari ini.
Beliau berkata, sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu memberikan kekuatan serta keyakinan untuk meneruskan proses perundangan berkenaan.
Mohd Shuhaily turut menegaskan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengendalikan kes itu mengikut proses dan aturan undang-undang yang sewajarnya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis Cawangan Khas, Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman.
Kejadian itu didakwa berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.










