Anwar Bidas Pembangkang – Jangan Jadikan Isu Tabung Haji ‘Drama Politik’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sidang khas membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), hari ini.

Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan menjadikan isu membabitkan institusi kewangan umat Islam berkenaan sebagai “drama politik”, hanya kerana beliau tidak dapat hadir ke persidangan khas tersebut.

Menurutnya, persoalan utama sepatutnya berkisar mengenai nasib dan pengurusan TH, bukannya kehadiran dirinya dalam Dewan Rakyat.

“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.

Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS yang sering membawa isu kepentingan Melayu dan Islam, jika mereka enggan mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai pengurusan TH.

Beliau menegaskan isu berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan pendeposit termasuk nelayan, petani, guru, anggota keselamatan dan pesara yang menyimpan wang bagi menunaikan ibadah haji.

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tetapi masih ada yang mahu main drama politik?” katanya.

Terdahulu, sidang khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI TH menjadi tegang apabila Ahli Parlimen pembangkang meminta persidangan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Anwar.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi mempersoalkan kewajaran sidang diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula menyindir keadaan itu dengan menyifatkan sidang berkenaan seperti “majlis perkahwinan tanpa pengantin”.

Selepas permintaan penangguhan ditolak, wakil rakyat PN memilih untuk meninggalkan Dewan Rakyat.

Anwar tidak hadir selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut, semalam. Beliau kini berada di bawah pemantauan pasukan perubatan dan dijangka dipantau selama dua hari.

Sidang khas itu diadakan susulan laporan RCI TH setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu.

Laporan berkenaan meneliti pengurusan dan operasi TH sepanjang 2014 hingga 2020, termasuk kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta isu berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan institusi itu.

BBerkaitan

Latest articles