Anwar Bangga Azizulhasni Tamatkan Penantian 16 Tahun, Julang Emas Keirin Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang selepas mencipta sejarah dengan merangkul pingat emas acara keirin lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menerusi hantaran di platform X pada Sabtu, Anwar menyifatkan kejayaan yang diraih pelumba berusia 38 tahun itu sebagai hasil ketabahan, kesungguhan dan semangat juang luar biasa yang akhirnya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk bergelar juara keirin Sukan Komanwel.

Menurut beliau, kejayaan yang diraih atlet yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah menjadi suntikan inspirasi kepada seluruh rakyat.

“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat,” katanya.

Terdahulu, Azizulhasni menghadiahkan emas buat Malaysia selepas menjuarai final keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi (Jumaat malam waktu Scotland).

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu menewaskan pelumba Australia, Leigh Hoffman yang meraih pingat perak, manakala wakil England, Harry Ledingham-Horn membawa pulang gangsa.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan penantian panjang Azizulhasni untuk muncul juara keirin di pentas Komanwel, malah menjadi pingat emas sulung skuad berbasikal trek negara pada edisi Glasgow 2026.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan keempat Azizulhasni di Sukan Komanwel. Sebelum ini, beliau pernah memenangi pingat gangsa acara pecut berpasukan pada edisi New Delhi 2010 serta gangsa keirin di Glasgow 2014.

Emas yang diraih Azizulhasni turut menyumbang pingat emas ketujuh kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.

BBerkaitan

Latest articles