Anthony Beri Amaran, Wakil Rakyat Belot Akan Disingkir

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi peringatan keras kepada mana-mana wakil rakyat yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan dengan menegaskan tindakan tegas akan diambil termasuk penyingkiran daripada kepimpinan parti.

Menurut beliau, DAP tidak akan berkompromi dengan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang cuba mengambil kesempatan daripada kemelut politik untuk berpaling tadah atau mengkhianati mandat rakyat.

Penegasan yang sama juga diberikan Anthony terhadap rakan-rakan kerjasama politiknya.

“Mana-mana Ahli Parlimen, ADUN DAP, kalau dia mengambil peluang nak berpaling tadah, nak ambil peluang, kita campak dia. Mana-mana satu dah cuba belot, saya campak dia.

“PKR pun kena sama, (Datuk Seri) Aminuddin (Harun) kena tegas. Bang Mat lagi kena tegas. Kalau tak sokong, campak sahaja,” katanya berucap pada ceramah perdana PH di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anthony turut menegaskan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal kukuh selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persefahaman penuh untuk mempertahankan pentadbiran sedia ada di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan atau mengumpul sokongan secara tidak sah tidak boleh diterima kerana pengalaman beberapa krisis politik sebelum ini membuktikan kerajaan hanya mampu bertahan melalui kesetiaan kepada mandat rakyat.

BBerkaitan

Latest articles