Aliff Syukri Diperintah Bayar RM250,000 Kepada Abdul Kadir

KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, selepas saman fitnah yang difailkan terhadapnya berjaya.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Nor yang turut menetapkan bayaran kos guaman sebanyak RM50,000 perlu dijelaskan kepada pihak plaintif.

Tuntutan berkenaan timbul susulan kenyataan yang dimuat naik oleh Aliff Syukri di media sosial pada 2 Julai 2023, yang didakwa mengandungi unsur fitnah apabila mengaitkan Abdul Kadir dengan dakwaan tunggakan pelaburan bernilai jutaan ringgit.

Kenyataan tersebut turut disertakan gambar plaintif sehingga mencetuskan komen negatif dalam kalangan pengguna media sosial.

Difahamkan, kedua-dua pihak tidak berada di mahkamah ketika keputusan diumumkan.

Abdul Kadir sebelum ini memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa kenyataan yang disiarkan di platform seperti Facebook dan Instagram itu telah mencalarkan reputasinya.

Dalam tuntutan tersebut, beliau antara lain menuntut ganti rugi sehingga RM70 juta, selain memohon perintah mahkamah supaya defendan mengemukakan aku janji untuk tidak mengulangi perbuatan sama serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam pada itu, Aliff Syukri melalui pernyataan pembelaannya menegaskan bahawa beliau telah melunaskan bayaran pelaburan berjumlah RM30 juta berdasarkan perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang turut melibatkan plaintif serta dua buah syarikat lain.

BBerkaitan

Latest articles