KUALA LUMPUR: Usaha M Indira Gandhi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Polis Negara dan kerajaan berhubung kegagalan mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa, sekali lagi menemui jalan buntu.
Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Indira terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak samannya.
Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Zaini Mazlan, Faizah Jamaludin dan Radzi Abdul Hamid.
Dalam penghakiman yang dibacakan Faizah, mahkamah mendapati Indira gagal membuktikan wujud hubungan langsung antara tindakan atau kegagalan polis dengan penderitaan serta kerugian yang dialaminya.
Mahkamah turut berpandangan kesengsaraan Indira berpunca daripada tindakan bekas suaminya, K Pathmanathan atau Riduan Abdullah selepas lelaki itu memeluk Islam, bukannya kegagalan polis.
Indira juga gagal membuktikan pihak polis tidak mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mengesan Riduan dan mendapatkan semula Prasana, yang kini berusia 18 tahun.
Menurut mahkamah, bukti menunjukkan Indira dan anaknya sudah terpisah beberapa tahun sebelum Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan mendapatkan semula kanak-kanak berkenaan.
Mahkamah Rayuan menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan fakta dan keadaan khusus kes Indira, selain tidak bermaksud pihak polis secara amnya kebal daripada tindakan undang-undang.
Mahkamah turut menegaskan tanggungjawab polis untuk melaksanakan waran tangkap yang masih berkuat kuasa tetap terpakai.
Tiada perintah berhubung kos dikenakan terhadap Indira yang hadir ketika keputusan dibacakan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada 28 Jun 2024 menolak saman berkenaan selepas mendapati keterangan bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pegawai polis Yap Siew Cheng menunjukkan usaha serius telah dilakukan bagi mengesan Riduan, termasuk mendapatkan bantuan Interpol.
Dalam saman yang difailkan pada 2020, Indira menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi serta memohon mahkamah mengisytiharkan Abdul Hamid melakukan tort dalam jawatan awam kerana didakwa gagal memastikan waran terhadap Riduan dilaksanakan.
Beliau turut mendakwa kerajaan bertanggungjawab terhadap tindakan polis berkenaan.
Mengulas keputusan hari ini, Indira berkata beliau akan mendapatkan nasihat daripada peguamnya berhubung langkah seterusnya.










