KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sebagai usaha memastikan pengurusan institusi berkenaan terus berteraskan tatakelola yang kukuh serta menjaga amanah umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkemas institusi dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
Menurut beliau, pengukuhan tatakelola perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi negara berfungsi dengan penuh integriti.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus menyekat kebebasan suara mahasiswa.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook sempena penutupan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 semalam.
Dalam hantaran sama, Anwar menegaskan pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat tanpa mengira perbezaan politik atau negeri.
Katanya, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membela seluruh rakyat, termasuk mereka yang tinggal di negeri ditadbir pembangkang.
“Amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu tetapi kepada seluruh rakyat dan negara.”
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata parti itu akan terus berpaut pada prinsip, idealisme dan keberanian untuk melakukan perkara yang benar tanpa menggadaikan agenda reformasi hanya demi mengekalkan kuasa.
Beliau berkata PKR perlu terus menjadi wadah perjuangan yang merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Menurutnya, prinsip keadilan perlu diterjemahkan melalui dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Anwar turut mengingatkan bahawa kekuatan parti bergantung kepada barisan kepimpinan yang bersih, teguh serta gerak kerja yang tersusun.
“Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan,” katanya.
Beliau menyeru seluruh anggota parti supaya memperkukuh kesatuan, memperkemas gerak kerja dan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat serta negara.










