Akmal Ulang Pendirian Takkan Bertanding Jika BN-PH Bekerjasama Di Melaka

MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan pendiriannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, keputusan itu bukan pendirian peribadi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebaliknya turut membawa suara dan pendirian sayap Pemuda UMNO yang tegas menolak kerjasama dengan PH.

Menurutnya, prinsip berkenaan tidak akan dikompromi hanya kerana mahu mengejar jawatan atau kepentingan politik.

“Pendirian saya bukan sahaja pendirian seorang ADUN. Pendirian saya adalah pendirian ketua Pemuda UMNO yang menyatakan dengan tegas bahawa kita sama sekali tidak ingin bersama dengan PH.

“Pimpinan (atasan) saya tidak tahu, tetapi ini pendirian pimpinan Pemuda. Itu pendirian saya, tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-67, hari ini.

Akmal mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lalu yang mengesahkan rundingan rasmi antara BN dan PH berkaitan kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Zahid yang juga Presiden UMNO bagaimanapun menyerahkan kepada kepimpinan BN Melaka diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menjalankan rundingan dan memuktamadkan keputusan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Akmal berkata pendirian Pemuda UMNO supaya parti itu tidak bekerjasama dengan PH bukan perkara baharu kerana ia pernah dinyatakan secara terbuka menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia pada awal tahun lalu.

Katanya, Pemuda UMNO ketika itu turut menyatakan hasrat supaya parti berkenaan keluar daripada kerajaan, namun tetap menghormati keputusan kepimpinan untuk mengekalkan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita sebenarnya pada awal tahun lepas, di Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia sudah menyatakan hasrat supaya UMNO keluar daripada kerajaan ini.

“Itu pendirian tegas kita. Tetapi selepas konvensyen itu, parti membuat keputusan untuk kekal sehingga tamat PRU. Jadi, kita hormat pendirian parti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles