Akmal Cabar PH Singkir UMNO Jika Benar Mahu Putus Kerjasama

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Pakatan Harapan (PH) supaya mengeluarkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu benar-benar tidak lagi mahu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Cabaran itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan komitmennya untuk meneruskan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama UMNO dan BN di peringkat Persekutuan.

Muhamad Akmal mendakwa, pendirian berkenaan dilihat bercanggah dengan sikap sesetengah pihak dalam PH yang sebelum ini lantang mengkritik UMNO.

“Gelar UMNO bermuka-muka, kutuk UMNO bukan main lagi. Nak buang Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) UMNO.

“Nak tolak UMNO. Jadi dah kamu hina dan kutuk UMNO bukan main lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusan untuk mengekalkan kerjasama berkenaan dibuat atas pertimbangan kestabilan politik serta kepentingan dan kemakmuran rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan politik tidak sepatutnya dipengaruhi kepentingan jawatan, kedudukan atau kemarahan, sebaliknya perlu berteraskan kepentingan rakyat dan negara.

Mengulas perkara itu, Muhamad Akmal berkata, PH seharusnya berani mengambil tindakan sekiranya pendirian mereka terhadap UMNO benar-benar seperti yang didakwa.

“Maka kita cabar mereka untuk buang UMNO dari Kerajaan Perpaduan jika dah macam itu.

“Akhir sekali, nak teruskan hubungan dengan UMNO. Ini apa saudara?” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa terdapat pemimpin UMNO yang pernah membantah keputusannya menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Menurut Muhamad Akmal, Anwar selaku Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menentukan perkara tersebut dan tidak wajar meletakkan kesalahan kepada UMNO.

“Dah salahkan UMNO pula. Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia. Kuasa itu berada di tangan PMX.

“Kalau PMX beritahu, terus perkara ini boleh disalurkan. Bukan di tangan Timbalan Perdana Menteri.

“Cuba PMX beritahu siapa pemimpin UMNO tersebut, kami pun nak tahu juga. Ke perlu tunggu tiga tahun lagi baru boleh beritahu?” katanya.

BBerkaitan

Latest articles