Akad Nikah Secara Online Yang Pertama Diadakan di Malaysia

Walaupun rakyat Malaysia kini berada dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia bukan halangan kepada pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd untuk dinikahkan menerusi dalam talian (online).

Majlis akad nikah secara dalam talian itu adalah yang pertama di Wilayah Persekutuan semasa PKP berlangsung.

Ia diadakan dengan garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Majlis pernikahan Muhammad Don Haadi dan Nahdatul Aishah itu mengambil masa kira-kira 15 minit dan ia disiarkan menerusi Facebook Live Berita Alhijrah.

Saluran Youtube Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menyiarkan rakaman akad nikah tersebut.

Majlis diadakan pada jam 10.10 pagi tadi di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Zulkifli dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin berkenaan.

“Selamat Pengantin Baharu Don Haadi dan Nahdatul Aishah. Moga berbahagia hingga ke syurga. Saya ingin mengucapkan tahniah atas insiatif JAWI dan semua pihak yang terlibat dalam majlis yang bersejarah ini,” katanya dalam Facebook beliau. TRI

BBerkaitan

Latest articles