KUALA LUMPUR: Insiden cermin tingkap pecah pada tren KTM Komuter Utara laluan Padang Besar-Butterworth semalam disahkan berpunca daripada perbuatan vandalisme selepas tren berkenaan dibaling objek tidak dikenali.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang membabitkan tren No. 2951 ketika melalui laluan antara Arau dan Kodiang, menyebabkan cermin sebelah kiri koc kedua pecah.
Susulan kejadian, koc terjejas dikosongkan dan akses penumpang dihadkan bagi mengelakkan risiko keselamatan. Tren dibenarkan meneruskan perjalanan pada jam 6.21 petang dengan kelewatan 21 minit.
KTMB turut membuat laporan polis, manakala set tren terbabit dibawa ke Depoh Bukit Tengah untuk pemeriksaan serta kerja penggantian cermin sebelum kembali beroperasi keesokan harinya.
KTMB menegaskan perbuatan membaling objek ke arah tren bergerak bukan sahaja merosakkan aset, malah boleh mengancam nyawa penumpang dan kakitangan.
Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 132 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM25,000 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai diminta tidak melakukan perbuatan berbahaya itu dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.










