Abdul Azeez Mengaku Tak Salah Dakwaan Salah Guna Kedudukan Libat Pelaburan TH RM193.5 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berkaitan cadangan pelaburan TH bernilai sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014.

Abdul Azeez, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan memohon supaya kes berkenaan dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun.

Jawatan itu turut disertakan kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series bersama seorang pemandu tetap.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 25 Ogos 2014 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 38, Bangunan TH, Jalan Tun Razak.

Pertuduhan mendakwa Abdul Azeez mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, supaya mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Beliau juga didakwa mempengaruhi ahli Lembaga TH dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 (309) sehingga cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada syarikat itu, diluluskan.

Menurut pertuduhan, Abdul Azeez mempunyai kepentingan dalam perkara berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dato Akram Gharim, Law Chi How dan Atirah Ahmad Azhar, mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin tempatan yang bukan ahli keluarga.

Pendakwaan turut memohon pasport Abdul Azeez diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, membantah jumlah berkenaan dan memohon agar jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin, selain mengarahkan beliau melaporkan diri ke Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan.

Abdul Azeez diwakili Amer Hamzah bersama Datuk Abu Bakar Isa Ahmad, Ashvat, Joshua Tau dan Tan Soo Yin.

Terdahulu, Mahkamah turut membenarkan permohonan polis untuk menahan Abdul Azeez selama dua hari bagi membantu siasatan berasingan.

Beliau dibawa ke mahkamah pagi ini selepas ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum ditempatkan di Balai Polis Dang Wangi.

Penahanan itu tidak berkaitan secara langsung dengan siasatan SPRM berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Sebelum ini, Abdul Azeez pernah direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September bagi membantu siasatan SPRM berhubung perkara sama.

Beliau ketika itu direman bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles