Masyarakat India Perlu Terus Bersuara, Bukan Hanya Ketika Pilihan Raya – N Gobalakrishnan

TASEK GELUGOR: Masyarakat India perlu terus menyuarakan tuntutan dan keluhan mereka kepada wakil rakyat, bukan hanya bergantung kepada sokongan ketika pilihan raya, kata mantan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Beliau berkata, hubungan antara masyarakat dengan wakil rakyat perlu dikekalkan secara berterusan bagi memastikan isu berkaitan pendidikan, kebajikan dan mata pencarian masyarakat India mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya hanya menemui wakil rakyat ketika pilihan raya, sebaliknya perlu mengambil peluang menghadiri program kemasyarakatan dan perayaan bagi mengukuhkan hubungan dengan pemimpin yang dipilih.

“Selepas mengundi, jangan terus balik ke rumah tanpa bersuara lagi. Berilah sokongan penuh kepada mereka dan untuk Deepavali, datanglah duduk serta makan bersama-sama mereka.

“Untuk setiap perayaan seperti Deepavali dan Ponggal, jalinlah hubungan seperti ini dengan ahli Dewan Rakyat. Jangan selepas mengundi, anda tidak lagi melihat ahli Dewan Rakyat.

“Kalau begitu, mereka mungkin tidak memberi perhatian kepada suara, keluhan dan mata pencarian anda kerana mereka tahu anda hanya mengundi lima tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Parti Wawasan Negara Pulau Pinang dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Pengerusi Wawasan Negara Pulau Pinang, Khalid Mehtab.

Dalam ucapannya, Gobalakrishnan turut membangkitkan isu pendidikan masyarakat India, khususnya keadaan sekolah Tamil yang disifatkannya masih berdepan pelbagai kekangan.

Beliau berkongsi pengalaman ketika menjadi Ahli Parlimen pada 2008 apabila mendakwa permohonannya untuk mendapatkan lesen bagi pembinaan sebuah sekolah Tamil baharu di Paya Besar, Lunas, Kedah pada awalnya tidak mendapat kelulusan kementerian.

“Saya memohon untuk satu lesen sekolah baharu di Paya Besar, Lunas, Kedah. Selepas saya membangkitkan perkara itu dengan tegas di Parlimen, barulah kementerian menghantar pegawai dan lesen berkenaan diberikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau turut mendakwa peruntukan RM3.5 juta yang diberikan bagi pembinaan sekolah Tamil berkenaan tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos pembinaan sebuah sekolah.

Mengulas isu kebajikan masyarakat India, Gobalakrishnan turut mempersoalkan pengurusan dana berjumlah RM105 juta yang menurutnya diperuntukkan kerajaan kira-kira empat tahun lalu bagi membantu masyarakat India berpendapatan rendah.

Beliau mendakwa mekanisme bantuan melalui dana berkenaan membebankan penerima dan mempersoalkan penggunaan hasil faedah yang dikatakan dikutip daripada pinjaman pendidikan untuk tujuan lain.

“Masalah masyarakat India ialah apabila mereka memerlukan bantuan, mereka terpaksa berdepan pelbagai kesukaran. Harapkan pagar, pagar makan manusia.

“Rasuah sebenar ialah apabila hak masyarakat dinafikan sehingga mereka terpaksa mengemis untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya menjadi hak mereka. Perkara ini perlu dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wan Saiful kerana menurutnya lantang menyuarakan isu rakyat di Parlimen, selain menggesa masyarakat India terus menjadikan pemimpin setempat sebagai penghubung untuk menyampaikan masalah mereka kepada wakil rakyat.

Mengakhiri ucapannya, Gobalakrishnan berkata, sambutan Deepavali membawa mesej kemenangan cahaya mengatasi kegelapan yang turut mencerminkan kepentingan kebaikan dan perpaduan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Untuk rekod, N Gobalakrishnan pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Serai selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR sebelum mengumumkan keluar parti pada 29 Januari 2011 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

BBerkaitan

Latest articles