PASIR GUDANG: Anggota tentera yang terbabit dalam salah laku tidak semestinya terlepas daripada tindakan disiplin, meskipun tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah sivil atau jenayah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menjalankan siasatan dalaman bagi menilai sama ada anggota terbabit masih layak dikekalkan dalam perkhidmatan.
Katanya, penilaian itu turut boleh dikenakan terhadap anggota yang ditahan berhubung kes penyalahgunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk kegiatan penyeludupan dadah, sekiranya mereka dilepaskan atau tidak lagi direman polis.
“Mungkin tak cukup bukti dari sudut nak bawa ke mahkamah sivil atau mahkamah jenayah, pihak tentera akan tengok sama ada wajar ataupun tidak mereka ini patut terus berada dalam perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival CIMIC Johor @ Pasir Gudang, di TMIYC Pasir Gudang.
Mohamed Khaled menegaskan kementerian memandang serius sebarang salah laku anggota tentera kerana perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan imej pasukan, malah boleh menjejaskan keupayaan negara mempertahankan keselamatan dan kedaulatan.
Susulan kes berkenaan, TUDM turut menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk mengenal pasti kelemahan yang mungkin membuka ruang kepada penyalahgunaan aset ketenteraan.
Beliau berkata, setakat ini lapan anggota tentera, terdiri daripada enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat, ditahan berhubung kes itu, manakala tiga daripada mereka sudah didakwa.
Menurutnya, kementerian tidak akan melindungi mana-mana anggota yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan sewajarnya.
“Kita tidak ada niat untuk mempertahankan sesiapa. Sebab itulah kita tangkap dan serahkan kepada polis untuk disiasat. Kita akan pergi sampai ke lubang cacing.
“Kita berharap pihak polis dapat menangkap dalang sebenar sindiket ini, kerana anggota tentera yang ditahan hanya menjadi alat kepada sindiket berkenaan,” katanya.
Semalam, tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram.
Kesemua tertuduh, Muhammad Amirul Faisall Rosdin, Amir Ariffudin Aminullah, Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, Tan Sui Seng, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin dan Afifah Amdas, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.










