Zahid Mahu Orang Asli Dilantik Sebagai Menteri, Pertimbang Pertambahan Kuota Sektor Awam

PUTRAJAYA: Masyarakat Orang Asli perlu diberi ruang lebih besar dalam kepimpinan negara, termasuk hasrat melihat seorang daripada komuniti itu dilantik sebagai menteri dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyertaan masyarakat Orang Asli dalam proses membuat keputusan penting bagi memastikan dasar kerajaan mengambil kira pengalaman serta keperluan sebenar komuniti berkenaan.

Beliau berkata, pelantikan wakil Orang Asli ke peringkat tertinggi kepimpinan negara bukan sekadar simbolik, sebaliknya mampu membawa perspektif berbeza berdasarkan pengalaman hidup mereka.

“Hasrat saya satu ketika nanti, insya-Allah dalam waktu yang terdekat, ada seorang menteri yang mewakili Orang Asli di negara kita,” katanya ketika berucap pada Himpunan Perdana Penjawat Awam Orang Asli 2026, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pencapaian masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam turut membuktikan keupayaan mereka menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, seramai 5,200 penjawat awam Orang Asli kini berkhidmat di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus meletakkan satu tanda aras positif dalam penyertaan komuniti itu dalam sektor awam.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempertimbangkan penambahan kuota pengambilan anak Orang Asli ke dalam perkhidmatan awam bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan berkenaan.

Katanya, peningkatan jumlah anak Orang Asli yang memiliki kelayakan akademik dan profesional membolehkan laluan lebih luas disediakan untuk mereka menyertai sektor kerajaan.

“Semakin ramai sudah memiliki kelayakan akademik dan profesional. Sudah tiba masanya kita buka laluan yang lebih luas untuk mereka berkhidmat.

“Bagi yang sudah berkhidmat, saya mahu kementerian dan agensi memberi mereka peluang untuk mengetuai pasukan dan terbabit dalam penggubalan dasar.

“Saya mahu lebih ramai daripada mereka diberi peluang untuk kenaikan pangkat lebih awal kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu masyarakat Orang Asli turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pembangunan negara, bukan sekadar menjadi penerima manfaat daripada pelaksanaan dasar.

Beliau berkata, usaha memperkasa komuniti itu juga perlu merangkumi pemilikan aset dalam kalangan keluarga Orang Asli, selain memperluas peluang kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf kehidupan.

“Kita mahu lebih ramai keluarga Orang Asli memiliki aset, anak-anak muda Orang Asli mendapat peluang untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka dan ramai pemimpin daripada Orang Asli akan lahir untuk berada di persada kepimpinan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles