KUALA LUMPUR: Bersatu tidak terikat dengan sebarang perjanjian kerjasama parti dengan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka ruang kepada parti itu meneroka jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata setakat ini tiada sebarang persefahaman rasmi antara Bersatu dengan PH, sebaliknya persetujuan yang dicapai hanya membabitkan beberapa Ahli Parlimen parti itu dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai sebelum ini tidak boleh ditafsirkan sebagai kerjasama politik antara kedua-dua parti.
“Tiada sebarang perjanjian lagi dengan PH setakat ini. Apa yang kita sempurnakan hanyalah dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu dengan (kerajaan).
“Saya sekali lagi nak tegaskan, CSA bukan persefahaman parti dengan parti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Ampang.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa Ahli Parlimen parti itu, selain Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat pada 2024.
Menerusi persetujuan itu, kumpulan Ahli Parlimen terbabit akan menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk menyokong Belanjawan 2027.
Mengulas hala tuju parti, Azmin berkata Bersatu perlu segera menilai kemungkinan membentuk jajaran politik baharu kerana kekuatan sesebuah parti tidak boleh bergantung kepada keupayaan sendiri semata-mata untuk memenangi PRU akan datang.
Katanya, kepimpinan tertinggi parti perlu mempercepat perbincangan dan mencapai kata sepakat mengenai bentuk kerjasama yang bersesuaian berdasarkan perkembangan politik serta aspirasi rakyat.
Beliau turut menggesa keputusan berhubung perkara itu dimuktamadkan dalam tempoh setahun supaya Bersatu dapat memasuki PRU16 dengan strategi dan pendekatan politik yang lebih jelas.
“Kita kena berani, kita bincang, dapatkan konsensus, kita lihat situasi politik semasa. Kalau kaedah dan strategi semasa perlukan jajaran baharu, ayuh kita mendesak kepimpinan tertinggi parti supaya segera memuktamadkan perbincangan.
“Dalam tempoh setahun, kita masuk PRU dengan keyakinan baharu, strategi baharu, dasar baharu dan insya-Allah, selepas PRU, kerajaan baharu dipimpin oleh Bersatu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azmin mendakwa seorang pegawai kanan kerajaan turut menyuarakan keperluan membentuk jajaran politik baharu bagi menghalang UMNO dan PAS kembali menerajui kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, pegawai berkenaan berpandangan langkah itu perlu dipertimbangkan bagi menyelamatkan ekonomi negara serta mengelakkan politik berasaskan identiti daripada menjejaskan masa depan negara.
Azmin bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pegawai kanan kerajaan yang didakwa menyuarakan pandangan berkenaan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kesediaan Putrajaya mengadakan perbincangan dengan Bersatu sebagai petunjuk bahawa parti itu masih mempunyai pengaruh dan nilai strategik dalam landskap politik negara.
“Bersatu ada prinsip dan Bersatu ada kekuatan untuk menyumbang kepada kestabilan kerajaan di peringkat persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, Azmin dilaporkan berkata beliau akan membawa cadangan pembentukan konsep ‘khemah besar’ yang turut membuka ruang kerjasama dengan parti lain, termasuk idea yang dibangkitkan Amanah, untuk dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi Bersatu.










