KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM5 juta menerusi Program Pengukuhan Pasaran Lada Malaysia bagi memperluas penembusan produk komoditi itu di pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata peruntukan itu bertujuan membantu lebih ramai pengusaha memperkenalkan produk masing-masing kepada bakal pembeli, selain memperkukuh kedudukan lada Malaysia dalam pasaran eksport.
Beliau berkata, usaha berkenaan perlu disokong dengan jaminan bekalan yang konsisten serta pematuhan terhadap spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan pembeli.
Menurutnya, Jepun muncul antara pasaran eksport utama lada Malaysia apabila menyumbang kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan eksport komoditi itu pada 2025.
“Ini bermakna peluang kepada pengusaha tempatan untuk membekalkan lebih banyak lada kepada pembeli dalam negara
sangat luas.
“Pembeli perlukan lada yang menepati spesifikasi mereka, pada harga yang kompetitif. Pengusaha juga perlu mampu
membekalkan jumlah yang diminta.
“Di luar negara pula, Jepun menyumbang kira-kira 48 peratus daripada jumlah eksport lada Malaysia pada tahun 2025.
“Untuk mengekalkan kepercayaan pembeli di Jepun, kita perlu terus membekalkan lada yang menepati spesifikasi dan
terjaga mutunya,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026, hari ini.
Noraini berkata, peluang pasaran domestik juga masih luas berikutan penggunaan lada di Malaysia dianggarkan sebanyak 32,500 tan metrik setahun.
Malah, Malaysia mengimport sebanyak 4,437 tan metrik lada pada 2025 bagi memenuhi keperluan segmen tertentu, sekali gus menunjukkan ruang yang boleh diteroka pengusaha tempatan untuk meningkatkan bekalan kepada industri dalam negara.
Katanya, antara pengguna utama lada ialah pengilang rempah, hotel, restoran dan syarikat katering yang memerlukan bekalan mengikut spesifikasi, kuantiti serta harga kompetitif.
Sehubungan itu, beliau mahu Lembaga Lada Malaysia (MPB) memperkukuh kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu pengusaha membuat persediaan menembusi pasaran eksport.
MATRADE boleh membantu mengenal pasti pasaran berpotensi serta membina hubungan dengan bakal pembeli antarabangsa, manakala pengusaha yang mahu mengembangkan perniagaan turut digalakkan mendapatkan bimbingan daripada SME Corp Malaysia.
Bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran pula, Noraini berkata pengusaha boleh meneroka kemudahan pembiayaan yang ditawarkan Agrobank, termasuk bagi tujuan penambahan peralatan dan pengembangan operasi.
Beliau berkata, pengusaha juga perlu memanfaatkan platform seperti Ekspo Lada Malaysia 2026 untuk mendapatkan maklum balas pengguna, mengenal pasti kehendak pembeli dan membina rangkaian perniagaan yang boleh diteruskan selepas ekspo berakhir.
Katanya, peluasan pasaran bukan sahaja dapat meningkatkan jualan pengusaha, malah memberi kesan langsung kepada pekebun tempatan apabila peningkatan pesanan produk hiliran mendorong permintaan lebih tinggi terhadap bekalan lada.










