TASEK GELUGOR: Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) Pulau Pinang menganjurkan Majlis Sambutan Deepavali bersama masyarakat India di Parlimen Tasek Gelugor, pada petang Sabtu.
Pengerusi Wawasan Negara Pulau Pinang, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, program itu merupakan aktiviti pertama yang dianjurkan parti berkenaan di negeri itu sejak penubuhannya.
Menurutnya, sambutan berkenaan turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara parti dengan masyarakat India, selain mengukuhkan sokongan terhadap Wawasan Negara.
“Alhamdulillah, walaupun Deepavali sudah disambut pada awal November lalu, kita masih berpeluang mengadakan majlis ini dan berkumpul bersama-sama masyarakat India di Tasek Gelugor.
“Ini merupakan program pertama yang diadakan oleh Wawasan Negara Pulau Pinang dan saya mengalu-alukan semua yang hadir untuk terus menyokong serta membantu parti kami di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan turut dihadiri Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta mantan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan.
Khalid berkata, penganjuran sambutan itu terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan masa dan penglibatan kepimpinan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Wawasan Negara telah didaftarkan secara rasmi pada 20 Jun lalu dan kini mempunyai lebih 160,000 ahli di seluruh negara.
“Perkembangan ini menunjukkan Wawasan Negara semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan semakin ramai yang memberikan kepercayaan kepada parti baharu ini,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Deepavali, Khalid berkata, perayaan itu membawa makna yang cukup besar kerana melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan serta ilmu mengatasi kejahilan.
Beliau turut berharap sambutan berkenaan dapat mencapai matlamatnya dalam mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum serta membuka ruang kepada lebih ramai penduduk untuk bersama-sama menyokong perjuangan Wawasan Negara.










