PUTRAJAYA: Setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yap Yee Vonne, menegaskan tiada sebarang salah laku dilakukan pihaknya berhubung pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau turut menegaskan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, malah bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung isu berkenaan.
Yap berkata, keterangannya sudah dirakam pegawai SPRM hari ini dan beliau bersedia memberikan penjelasan lanjut sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.
“Kami tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan atau ditakuti,” katanya dalam kenyataan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan melanjutkan pajakan tanah berkenaan dibuat selepas melalui penelitian sewajarnya serta mematuhi prosedur ditetapkan.
Katanya, perkara itu juga sudah dijelaskan secara terbuka dan terperinci oleh Menteri, Hannah Yeoh, ketika menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Pada 14 November lalu, Yeoh mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium hanya RM1,000, berbanding anggaran premium terdahulu yang mencecah hampir RM4.67 juta.
Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi susulan perbezaan ketara kadar premium berkenaan.
Yeoh sebelum ini menjelaskan kelulusan itu diberikan selepas KLSCAH secara sukarela bersetuju menukar status tanah berkenaan kepada tanah institusi, sekali gus mengehadkan penggunaannya daripada pembangunan berskala besar pada masa depan.
Beliau turut memaklumkan bangunan berusia 103 tahun itu diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 dan berdepan defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.
Dalam penjelasannya, Yeoh berkata keputusan berhubung pembaharuan pajakan itu dibuat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Malah, tujuh organisasi lain di Kuala Lumpur turut menerima kadar premium nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun, termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia.










