Pembangkang Persoal Status Nyahrahsia Minit Lembaga Pengampunan Najib, Tuntut Penjelasan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan kerajaan menyahrahsia minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tanpa penjelasan sama ada perkara itu terlebih dahulu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, persoalan itu timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung status penyahrahsiaan dokumen berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), Selasa lalu.

Menurutnya, jawapan diberikan Anwar menimbulkan persoalan apabila Majlis Peguam dilaporkan masih belum menerima minit mesyuarat berkenaan sehingga Rabu.

“Kalau sudah dinyahrahsia, mengapa mereka sehingga hari Rabu ia tidak lagi diterima oleh Bar Council?

“Yang kita hairannya, bagaimana pula Tony Pua boleh memperoleh minit mesyuarat tersebut seperti yang kita baca dalam media sosialnya,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Hamzah berkata, pihak pembangkang mahu mengetahui sama ada tindakan menyahrahsia dokumen berkenaan telah terlebih dahulu dipersembahkan atau dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menegaskan, pihak pembangkang akan mempertahankan kedudukan institusi diraja dan tidak mahu perkara membabitkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dipermainkan atas kepentingan politik.

Hamzah turut meminta kerajaan memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan, selain menggesa semua anggota Kabinet daripada DAP meletakkan jawatan.

Beliau berkata, anggota Kabinet yang dilantik dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil tanggungjawab berhubung isu yang dibangkitkan itu.

“Kalau nak sokong Anwar itu dia punya pasal, tetapi bab pelantikan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, mereka yang menjadi ahli Kabinet ini adalah seseorang yang dilantik dan angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, patutnya letak jawatanlah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu berkenaan perlu diperjelaskan kerana terdapat persoalan mengenai pihak yang mempunyai kuasa untuk menyahrahsia dokumen tersebut.

Beliau merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kuasa kepada seseorang menteri atau pegawai awam yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu kementerian, jabatan atau perkhidmatan awam untuk mengelaskan semula dokumen rahsia rasmi.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan siapa yang melaksanakan tindakan penyahrahsiaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan bertarikh 18 September 2026 yang membabitkan Najib.

Takiyuddin berkata, dokumen yang didedahkan itu bukan sekadar perintah pengampunan, sebaliknya turut merangkumi keseluruhan minit prosiding mesyuarat serta lampiran berkaitan syarat-syarat dan pelaksanaan keputusan berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan alasan Anwar bahawa penyahrahsiaan dokumen itu diperlukan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara menyediakan afidavit jawapan untuk menjawab permohonan Majlis Peguam.

Katanya, semakan yang dilakukan pejabat Ketua Pembangkang menerusi sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan pada 24 November mendapati tiada dokumen afidavit jawapan atau balasan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara tersebut.

“Kami telah menyiasat, buat siasatan. Ini sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 24 November pukul 12.57 tengah hari.

“Tidak terdapat apa-apa dokumen daripada Jabatan Peguam Negara yang merupakan afidavit jawapan atau balasan kepada Majlis Peguam yang dikatakan hendak menggunakan dokumen yang telah dinyahrahsia ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga persoalan kepada kerajaan iaitu siapa yang mengarahkan penyahrahsiaan dokumen berkenaan, apakah tujuan sebenar tindakan itu dan sama ada alasan yang diberikan Perdana Menteri berkaitan prosiding mahkamah adalah tepat.

Takiyuddin turut membangkitkan dakwaan dalam dokumen yang tersebar bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pada awalnya enggan menandatangani minit mesyuarat sebelum berbuat demikian selepas dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau merujuk perkara itu berdasarkan kandungan hantaran bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan bukannya kenyataan langsung daripada Hannah.

BBerkaitan

Latest articles