Tiada Perancangan Bubarkan DUN Pahang, Kata Wan Rosdy

KUANTAN: Spekulasi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pahang diadakan dalam masa terdekat tidak berasas apabila Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan tiada sebarang perancangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri belum membincangkan sebarang langkah ke arah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya baharu.

“Belum ada apa-apa perancangan setakat hari ini,” katanya ringkas ketika ditemui pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin mendapatkan kepastian sama ada DUN Pahang bakal dibubarkan, susulan kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membayangkan persidangan kali ini mungkin menjadi yang terakhir buat mereka.

Persoalan itu dibangkitkan ketika Tuan Ibrahim mencelah perbahasan Belanjawan Pahang 2027 oleh Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura).

Terdahulu, Shafik menyifatkan persidangan berkenaan sebagai antara hari-hari terakhirnya sebagai wakil rakyat Inderapura selepas berkhidmat selama 22 tahun sejak 2004.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Inderapura pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam perkembangan berasingan, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) Pahang berhubung kemungkinan menjalin kerjasama politik.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan PAS sudah memulakan langkah awal dengan mengarahkan kepimpinan parti di setiap negeri mengadakan pertemuan di semua peringkat bagi meneroka agenda penyatuan ummah.

“Belum lagi… kita merisik dulu. Pimpinan PAS di setiap negeri telah diarahkan untuk mengadakan pertemuan di semua peringkat bagi meneroka jalan agenda penyatuan ummah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu tidak mahu terburu-buru mengadakan pilihan raya di negeri lain meskipun mencatat perkembangan positif dalam beberapa PRN, termasuk di Melaka baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan mengenai kesesuaian mengadakan pilihan raya kepada kepimpinan BN di negeri masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles