KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik pinjaman secara teratur akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, insentif itu antara langkah kerajaan menggalakkan peminjam melunaskan pinjaman secara konsisten selain memastikan kelestarian dana PTPTN untuk jangka panjang.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif lain menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
“Antaranya, penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.
“Bayaran balik minimum hanya RM50 pula dikenakan kepada peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Azli Yusof (Shah Alam) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah tunggakan semasa pinjaman PTPTN, insentif bagi menggalakkan pembayaran balik secara konsisten serta pelan jangka panjang kerajaan bagi memastikan kelestarian dana tanpa membebankan peminjam berpendapatan rendah.
Zambry berkata, kerajaan juga menyediakan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja.
Menurutnya, pelbagai kemudahan sedia ada turut dilaksanakan bagi menjaga kebajikan peminjam, termasuk menetapkan bayaran balik bermula selepas 12 bulan tamat pengajian.
“Penangguhan bayaran balik juga diberikan kepada peminjam yang menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan.
“Selain itu, penstrukturan atau penjadualan semula bayaran balik boleh dibuat mengikut kemampuan peminjam,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan pengecualian bayaran balik kepada peminjam yang memperoleh keputusan cemerlang atau ijazah sarjana muda kelas pertama.
Mengulas mengenai kelestarian dana PTPTN, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh pengurusan pinjaman menerusi penambahbaikan terma dan syarat supaya pemberian pinjaman lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan PTPTN.
Katanya, keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik juga akan ditingkatkan melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta sektor korporat.










