DAP Perak Sokong Saarani, Tolak Usaha ‘Tebuk Atap’ Hingga Tamat Penggal

IPOH: DAP Perak memberi amaran bahawa sebarang cubaan menggugat kestabilan kerajaan negeri menerusi gerakan politik untuk mengambil alih pentadbiran tidak akan mendapat sokongan parti itu, sebaliknya menegaskan Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan sehingga tamat penggal pada akhir 2027.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, DAP kekal berdiri teguh di belakang Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selagi beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memastikan pentadbiran negeri terus berada pada landasan ditetapkan.

Menurutnya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini membuktikan kestabilan politik mampu dipertahankan tanpa perlu mencetuskan perebutan kuasa.

“Sekarang bukan masa untuk bermain politik. Selagi Menteri Besar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kita akan berdiri teguh dan bersama beliau sehingga ke penghujung penggal.

“Mereka yang berhasrat mengambil alih kerajaan menerusi cubaan ‘tebuk atap’, boleh menunggu sehingga tamat penggal, akhir 2027,” katanya di sidang media di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi tular kononnya DUN Perak akan dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRN.

Mengulas prestasi pentadbiran negeri, beliau berkata kerjasama PH-BN telah membuahkan hasil apabila Perak merekodkan lebihan belanjawan terkumpul sebanyak RM195 juta serta mencatatkan lebihan belanjawan selama lima tahun berturut-turut.

Katanya, prestasi ekonomi negeri turut menunjukkan perkembangan positif berdasarkan Belanjawan Perak 2027 yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus, peningkatan sektor pembuatan 15.2 peratus serta kadar pengangguran pada paras rendah 3.5 peratus.

Justeru, beliau menegaskan prestasi pentadbiran perlu dinilai berdasarkan pencapaian dan fakta, bukannya spekulasi politik yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.

“Biar fakta bukan auta untuk bicara. Jangan biarkan prestasi kalah kepada persepsi.

“Prestasi ini membuktikan formula BN dan PH merupakan satu pilihan paling bijaksana demi menjaga kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles