KUALA LUMPUR: Mesin pengimbas berteknologi tinggi yang digunakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempunyai kekangan untuk mengesan kandungan dadah sintetik yang dicampurkan ke dalam cecair vape seperti ‘Piu Piu’.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan, teknologi mesin pengimbas dan kecerdasan buatan (AI) berfungsi berdasarkan pengesanan profil ketumpatan serta bentuk fizikal bahan, bukannya menganalisis komposisi kimianya.
Menurut MOF, apabila dadah sintetik dilarutkan dalam bentuk cecair, imej yang dipaparkan pada skrin pengimbas hanya menunjukkan cecair organik umum.
“Teknologi pengimbas ini mempunyai kekangannya yang tersendiri kerana ia tidak berupaya mengecam dan melabelkan secara automatik bahan kimia spesifik terlarang di dalam sesebuah cecair tersebut,” menurut jawapan itu.
Jawapan berkenaan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai tahap keberkesanan sistem saringan JKDM dalam mengesan penyeludupan cecair vape bercampur dadah sintetik.
Wan Azizah turut meminta penjelasan mengenai perancangan menaik taraf mesin pengimbas, teknologi pengesanan dan latihan pegawai di semua pintu masuk negara.
Menurut MOF, bagi memastikan kawalan keselamatan sempadan kekal berkesan, JKDM mengoptimumkan penggunaan pelbagai jenis mesin pengimbas berteknologi tinggi sebagai aset strategik dan sokongan kepada operasi penguatkuasaan.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi perlu disokong keupayaan pegawai penguat kuasa dalam melakukan pemprofilan penumpang dan pengimport, penilaian risiko berasaskan risikan serta pemeriksaan terhadap pergerakan dan barangan mencurigakan.
“Keupayaan pegawai penguat kuasa mengenal pasti bahan yang mencurigakan membolehkan tindakan pemeriksaan, penahanan dan penyitaan diambil, sebelum sampel berkenaan dihantar ke makmal kimia untuk pengesahan lanjut,” menurut jawapan itu.
MOF memaklumkan, pendekatan berkenaan membolehkan mesin pengimbas dan teknologi AI berfungsi secara saling melengkapi dengan kepakaran pegawai serta pengesahan saintifik.
Kerajaan akan terus memperkukuh kawalan sempadan menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan teknologi pengimbasan, risikan, kecekapan pegawai penguat kuasa dan kerjasama antara agensi bagi membanteras penyeludupan dadah sintetik.










