KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan kepada ibu bapa atau penjaga yang layak bagi membantu mengurangkan kos penjagaan anak di TASKA berdaftar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu antara langkah kerajaan memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan anak mampu milik sekali gus menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan.
Menurutnya, ibu bapa turut menikmati pelepasan cukai individu sehingga RM3,000 setahun bagi yuran penghantaran anak ke TASKA, TADIKA, pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai inisiatif kerajaan meningkatkan akses kepada penjagaan anak mampu milik.
Menurut Nancy, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia mencatatkan 56.6 peratus pada 2025.
Katanya, Laporan Survei Tenaga Buruh 2025 turut menunjukkan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga merupakan komponen terbesar dalam kalangan penduduk di luar tenaga buruh, iaitu sebanyak 43.8 peratus.
“Dapatan ini menunjukkan kepentingan penyediaan sokongan penjagaan keluarga, termasuk penjagaan kanak-kanak yang mudah diakses, berkualiti dan mampu milik,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kerajaan turut menyediakan insentif pengecualian cukai kepada majikan bagi perbelanjaan penyelenggaraan TASKA di tempat kerja serta elaun penjagaan anak yang dibayar kepada pekerja atau terus kepada TASKA.
Pengusaha TASKA pula diberikan pengecualian cukai pendapatan bagi pendapatan berkanun daripada perniagaan TASKA untuk tempoh lima tahun taksiran berturut-turut bagi menggalakkan lebih banyak perkhidmatan berdaftar disediakan.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada tadbir urus, pembangunan kompetensi, laluan kerjaya, kerjasama strategik serta pengukuhan penyampaian perkhidmatan penjagaan.
Selain itu, kerajaan menggalakkan pelaksanaan Amalan Kerja Fleksibel (FWA) dan meneruskan Women Career Comeback Programme (WCCP) oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
“Program ini menyediakan akses kepada peluang pekerjaan, bimbingan kerjaya serta webinar dan bengkel profesional bagi meningkatkan kebolehpasaran wanita.
“Sehingga Disember 2024, seramai 881 wanita berjaya kembali bekerja menerusi program ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan Career Comeback Tax Exemption iaitu pengecualian cukai pendapatan individu selama 12 bulan kepada wanita yang kembali bekerja dan memenuhi syarat kelayakan.
Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi memperluas akses kepada kemudahan penjagaan anak mampu milik serta mewujudkan persekitaran kerja lebih kondusif untuk wanita kembali bekerja.










