KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneliti aktiviti dagangan saham NexG yang menunjukkan lonjakan harga dan peningkatan volum dagangan dalam tempoh tertentu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian itu sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat asas mencukupi untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Menurutnya, SC sedang mendapatkan serta meneliti dokumen dan maklumat berkaitan sebelum menentukan tindakan seterusnya.
“Sekiranya sebarang salah laku dagangan atau pelanggaran mana-mana peruntukan CMSA dikesan dan dibuktikan, SC akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai rasional awal penerokaan pengambilalihan Datasonic dan sebab cadangan itu dibatalkan dalam tempoh singkat selepas penilaian RM7.5 bilion diumumkan NexG.
Dalam jawapan sama, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat atau bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd.
“Seperti yang diumumkan pada 22 Ogos 2026 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan MADANI tidak berhasrat atau bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd,” katanya.
Yeo turut meminta penjelasan sama ada SC sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran CMSA susulan lonjakan harga dan aktiviti dagangan luar biasa saham NexG dalam tempoh berkenaan.










