Lebuhraya Persekutuan: Tiada Cadangan Pelebaran, Laluan Bertingkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak bercadang melaksanakan projek pelebaran atau pembinaan laluan bertingkat di Lebuhraya Persekutuan FT2 ketika ini berikutan kos pelaksanaannya yang terlalu tinggi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos pengambilan balik tanah yang tinggi di kawasan pesat membangun selain pengambilan aset sedia ada dan kesan sosial kepada penduduk serta pemilik premis menjadi antara kekangan utama.

Menurutnya, bancian trafik pada 2025 di stesen berhampiran Pejabat KEMAS Selangor mendapati tahap perkhidmatan jalan (LOS) Lebuhraya Persekutuan berada pada tahap F, iaitu menunjukkan keadaan aliran trafik sangat sesak.

“KKR juga mengambil perhatian bahawa kesesakan trafik di Lebuhraya Persekutuan turut dipengaruhi oleh pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang koridor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab pertanyaan Azli Yusof (PN-Shah Alam) mengenai pelan menangani kesesakan di Lebuhraya Persekutuan serta cadangan pembinaan laluan bertingkat dan model pembiayaannya.

Bagaimanapun, Nanta berkata, kementerian sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya bertol baharu bagi membantu mengatasi kesesakan di koridor berkenaan.

Menurutnya, KKR sudah menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta yang melibatkan sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan.

“Cadangan-cadangan ini akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan mengoptimumkan penggunaan rangkaian jalan raya sedia ada serta menggalakkan orang ramai memanfaatkan pengangkutan awam bagi mengurangkan tekanan trafik.

Antara alternatif yang boleh digunakan ialah perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang mula beroperasi pada 29 Jun 2026, menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama dengan kemudahan pertukaran ke Laluan LRT Kelana Jaya di Glenmarie.

Katanya, penggunaan LRT3 dijangka mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian sekali gus membantu mengurangkan jumlah kenderaan di Lebuhraya Persekutuan.

Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek menaik taraf tiga persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak (FT3214), Petaling, Selangor dengan kos RM332 juta.

Nanta berkata, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf persimpangan dan pembinaan jejambat bagi menyediakan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan yang dipengaruhi jumlah trafik serta kenderaan berat yang tinggi.

“Laluan alternatif ini juga dijangka dapat mengalihkan sebahagian aliran trafik daripada jalan sedia ada, termasuk Lebuhraya Persekutuan, sekali gus membantu mengurangkan beban trafik di rangkaian jalan raya sekitar Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan pengangkutan awam, penambahbaikan rangkaian jalan raya dan penyediaan laluan alternatif dengan mengambil kira aspek keberkesanan, kemampanan serta nilai untuk wang.

BBerkaitan

Latest articles