Anwar Arah KDN Siasat Kebocoran Dokumen Pengampunan Najib

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan dokumen pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengedarkan dokumen berkenaan, sebaliknya penyediaan dokumen itu oleh Jabatan Peguam Negara adalah bagi memenuhi proses menjawab permohonan di mahkamah.

Menurutnya, pihak yang menyebarkan dokumen berkenaan sebelum ia dibentangkan di mahkamah perlu dikenal pasti.

“Saya percaya KDN harus siasat. Bagaimana boleh perkara ini tersebar awal?

“Tapi sebaik sahaja dibentang di mahkamah tentunya tersebar dengan sendirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad Fadhli meminta penjelasan mengenai status penyahrahsiaan dokumen pengampunan Najib yang tersebar di internet, selain mempersoalkan mengapa dokumen berkenaan tidak diumumkan secara rasmi oleh kerajaan sekiranya ia sudah dinyahrahsia.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan berlaku kebocoran maklumat dalam kalangan anggota Kabinet sehingga dokumen berkenaan tersebar melalui pihak ketiga.

Menjawab perkara itu, Anwar menjelaskan, keputusan Peguam Negara untuk menyahrahsia dokumen berkenaan dibuat bagi membolehkan kerajaan menjawab permohonan yang dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara itu tidak bermakna keseluruhan dokumen berkaitan, termasuk minit mesyuarat, turut dinyahrahsia.

“Kalau diminta minit, ia terserah kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk memutuskan sama ada minit itu boleh dinyahrahsia atau tidak dalam kes itu,” katanya.

Anwar turut menjelaskan, perkara sama berlaku dalam kes berkaitan dokumen pengampunannya apabila permohonan yang dikemukakan hanya melibatkan keputusan, bukannya minit mesyuarat.

Beliau menafikan dakwaan kerajaan mengedarkan dokumen berkenaan dan menegaskan bahawa tiada pihak daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mahupun Jabatan Peguam Negara yang menghebahkan minit mesyuarat berkenaan.

“Jangan buat tohmahan sepertimana kata kerajaan edarkan, tak ada. Tidak benar.

“Kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara mempersiapkan kes jawapan di mahkamah. Itu saja,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, isu kerahsiaan dokumen kerajaan perlu dibezakan mengikut kategori maklumat yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kewajaran perkara itu dijadikan isu besar dari sudut substantif, terutama apabila dokumen yang didedahkan hanya melibatkan keputusan dan bukannya minit mesyuarat.

“Betul soal rahsia, kerahsiaan itu ada. Tapi apa masalah dari segi substantifnya untuk menjadikan isu ini isu besar? Saya tidak faham,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles