Anwar Pertahan Jemput Pemimpin Junta Myanmar

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengundang pemimpin junta Myanmar ke Malaysia bukan bermakna negara menggadaikan prinsip atau berkompromi terhadap penindasan etnik Rohingya, sebaliknya langkah itu didakwa membantu menyelesaikan isu membabitkan rakyat negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, dibuat sebelum keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan berasaskan kepentingan negara, khususnya bagi memastikan penghantaran pulang rakyat Myanmar dapat dilaksanakan dengan selamat serta bermaruah.

Menurutnya, usaha terdahulu untuk menempatkan pelarian berkenaan di negara ketiga tidak membuahkan hasil, sekali gus memerlukan pendekatan lain bagi menangani isu itu.

Beliau menegaskan, Malaysia tetap menghormati keputusan ICJ, menentang penindasan terhadap etnik Rohingya serta kumpulan lain di Myanmar, selain berpegang teguh kepada Konsensus Lima Perkara ASEAN.

“Dalam memutuskan dasar, keutamaannya ialah memelihara kepentingan negara. Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar (Min Aung Hlaing) ke Malaysia membantu menyelesaikan masalah negara? Jawabnya ya,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung pendirian Malaysia terhadap keputusan ICJ serta tindakan kerajaan mengundang pemimpin junta Myanmar ke negara ini pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata rundingan dengan Myanmar setakat ini membolehkan seramai 10,476 rakyat negara itu dihantar pulang dengan semua kos ditanggung kerajaan Myanmar.

Daripada jumlah itu, seramai 1,476 orang dibawa pulang menggunakan kapal perang negara berkenaan pada 29 September lalu.

Katanya, Kementerian Luar turut meluluskan kemasukan tiga kapal tentera laut Myanmar bagi membawa pulang 1,500 rakyatnya pada 6 dan 7 Disember ini.

Selain itu, 5,303 lagi dijadualkan pulang menggunakan penerbangan sepanjang bulan berkenaan.

Anwar berkata, setakat ini tiada laporan mengenai sebarang bentuk tekanan terhadap 10,476 individu yang sudah dihantar pulang berdasarkan pemantauan Kedutaan Malaysia.

Khamis lalu, ICJ dilaporkan memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, selain mengarahkan supaya kepulangan mereka dijamin selamat dan pampasan diberikan kepada mangsa.

Mahkamah itu mendapati tentera Myanmar bertanggungjawab atas pembunuhan ribuan orang awam Rohingya, keganasan seksual secara meluas serta kemusnahan perkampungan dengan niat menghapuskan sebahagian besar populasi etnik berkenaan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Luar pada Ahad lalu menyatakan dapatan ICJ bertepatan dengan pendirian Malaysia dalam melindungi golongan rentan.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara pendaftaran dan dokumentasi pencari suaka minggu lalu susulan keputusan kerajaan membangunkan sistem pengurusan pelarian sendiri.

BBerkaitan

Latest articles