Platform Media Sosial Berdepan Denda Sehingga RM10 Juta Jika Gagal Patuhi Pengesahan Umur

KUALA LUMPUR: Platform media sosial yang gagal mematuhi kewajipan keselamatan dalam talian, termasuk pelaksanaan pengesahan umur pengguna bawah 16 tahun, boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemberi perkhidmatan aplikasi dan kandungan yang gagal memenuhi keperluan ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Menurutnya, tindakan itu termasuk mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan di bawah Seksyen 37 dan Seksyen 39 akta berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai tahap pematuhan pengesahan umur pengguna media sosial bawah 16 tahun, termasuk perlindungan data peribadi dan tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi ketetapan itu.

Fahmi berkata, kerajaan melalui MCMC telah menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) pada 1 Jun 2026 bagi mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen melaksanakan langkah keselamatan dalam talian.

Katanya, CPC menetapkan keperluan pengesahan umur bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar perkhidmatan media sosial serta mengakses ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur.

“Susulan penguatkuasaan CPC, MCMC telah mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 30 Akta 866 kepada Pemberi Perkhidmatan Berlesen, iaitu Meta, TikTok dan Google.

“MCMC turut mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 akta yang sama bagi mendapatkan maklumat mengenai pelaksanaan mekanisme tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan mekanisme pengesahan umur masih dalam tempoh peralihan dan MCMC akan meneruskan pemantauan serta sesi libat urus bersama platform terbabit bagi menilai tahap kesiapsiagaan dan pematuhan mereka.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, semua pemberi perkhidmatan berlesen diwajibkan menyediakan Pelan Keselamatan Dalam Talian (OSP) yang mengandungi maklumat pematuhan terhadap kewajipan di bawah Bahagian III Akta 866.

Menurutnya, berdasarkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, pelan berkenaan perlu dikemukakan kepada MCMC selewat-lewatnya pada 28 Disember 2026.

“Pelan ini antara lain akan menjadi asas penilaian MCMC terhadap tahap pematuhan dan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen,” katanya.

Mengulas tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi arahan, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap arahan bertulis MCMC di bawah Seksyen 30 boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta.

Malah, denda tambahan sehingga RM100,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan juga boleh dikenakan.

Mengenai perlindungan data peribadi, Fahmi berkata, mekanisme pengesahan umur perlu dilaksanakan secara selamat dengan mengambil kira privasi pengguna serta mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Katanya, data yang dikumpulkan perlu dihadkan kepada maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan umur dan tidak boleh disimpan melebihi tempoh diperlukan.

Beliau berkata, kerajaan melalui MCMC akan terus memantau pematuhan platform media sosial serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan mekanisme pengesahan umur dilaksanakan secara berkesan tanpa mengabaikan keselamatan dan privasi pengguna, khususnya kanak-kanak.

BBerkaitan

Latest articles