Lelaki Ditemukan Maut Dalam Selut Di Tebing Tali Air, Polis Siasat Kes Bunuh

NIBONG TEBAL: Penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan kecederaan pada kepala di tebing tali air Kampung Baru, Ladang Byram di sini, mencetuskan siasatan polis berhubung kes pembunuhan.

Mayat mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 11 malam tadi dengan kepala dan separuh badannya terbenam dalam selut sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa, selain kesan darah di kawasan berhampiran lokasi penemuan.

Siasatan di lokasi kejadian berlanjutan sehingga jam 6 pagi tadi, dengan laluan berkenaan dipercayai sering digunakan penduduk kampung untuk ke sungai dan kawasan sangkar ikan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan penemuan itu, namun identiti mangsa yang dipercayai warga tempatan masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Pegawai Bomba Kanan III Mohd Faizal Khan Mohd Hassan berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

Mayat yang ditemukan dalam keadaan sempurna itu berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis kira-kira jam 2.45 pagi untuk tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles