KUALA LUMPUR: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) selepas disyaki mempunyai kaitan dengan penyaluran peralatan pengkomputeran canggih kepada pengguna yang tidak dibenarkan, termasuk kemungkinan membabitkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Syarikat terbabit ialah MSFusion Sdn Bhd, PT Megaspeed International dan Speedmatrix Sdn Bhd yang disenaraikan Jabatan Perdagangan AS menerusi Biro Industri dan Keselamatan (BIS), bersama empat syarikat lain di Singapura dan Thailand.
Langkah itu diumumkan melalui peraturan muktamad bertarikh 23 November yang dijadual diterbitkan dalam Daftar Persekutuan AS.
Selain tiga syarikat Malaysia, empat entiti lain yang turut dikenakan sekatan ialah Megaspeed International Pte Ltd, Apex Enterprise Solutions (Singapore) Pte Ltd dan Swiftdata Pte Ltd di Singapura, serta Megaspeed (Thailand) Co Ltd.
BIS berkata, tindakan itu diambil berikutan risiko ketara syarikat berkenaan sudah atau mungkin terlibat dalam penyaluran barangan pengkomputeran canggih untuk kegunaan atau kepada pihak yang tidak dibenarkan.
Susulan penyenaraian itu, semua urus niaga melibatkan ketujuh-tujuh syarikat berkenaan bagi barangan yang tertakluk kepada kawalan eksport AS memerlukan lesen, dengan permohonan dijangka ditolak secara dasarnya.
Speedmatrix pula merupakan anak syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, sebuah syarikat pengkomputeran awan dan rakan kongsi Nvidia.
Megaspeed sebelum ini disyaki membantu menyalurkan cip AI yang tertakluk kepada sekatan eksport ke China, selain dikaitkan dengan siasatan berhubung dakwaan pengintipan membabitkan Nvidia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang permohonan daripada Megaspeed atau Speedmatrix.
MITI turut memaklumkan Speedmatrix merupakan penyewa di sebuah pusat data di Malaysia, manakala pengimportan cip AI ke negara ini ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen.
Bagaimanapun, sejak Julai tahun lalu, syarikat diwajibkan mendapatkan permit bagi mengeksport, mengeksport semula atau membawa cip AI berprestasi tinggi buatan AS melalui Malaysia.










