CheguBard Dakwa Ismail ‘Mentally Unstable’, Wawasan Negara Akur BN Namakan MB Baharu

SEREMBAN: Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard mendakwa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebagai ‘mentally unstable’ susulan kemelut politik yang melanda pentadbiran negeri itu.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu termasuk usaha Ismail mendapatkan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti lain bagi mempertahankan jawatan Menteri Besar memperlihatkan pertembungan dengan parti sendiri, Barisan Nasional (BN).

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, CheguBard mendakwa Ismail sedang berusaha mendapatkan sokongan tujuh lagi ADUN Perikatan Nasional (PN) atau BN bagi memperoleh majoriti mudah, dengan mengambil kira sokongan 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) serta sokongan dirinya sendiri.

Menurutnya, usaha mendapatkan sokongan ADUN Wawasan Negara juga dilakukan bagi memastikan kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar dapat dipertahankan.

Beliau turut membangkitkan isu proklamasi yang didakwa ditandatangani Ismail dalam keadaan tertekan sebelum membuat laporan polis.

Bagaimanapun, CheguBard mendakwa Ismail kemudian mengakui menandatangani dokumen berkenaan secara sukarela dan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri mewartakannya.

“Ismail Lasim bukan sahaja dilihat lemah dan lembab malah ‘mentally unstable’ bila awalnya menyatakan dia ‘under duress’ ketika tandatangan proklamasi sehingga dia membuat laporan polis.

“Kemudian dia sendiri pula mengakui dia tandatangan sendiri dan minta Setiausaha Kerajaan Negeri wartakan,” katanya.

CheguBard turut mempersoalkan tindakan Ismail menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung isu pewartaan dokumen berkenaan, sedangkan kedua-duanya didakwa masih menghadiri pelbagai program dan mesyuarat bersama.

Beliau juga mendakwa pentadbiran kerajaan negeri berdepan masalah apabila Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat mempunyai pengaruh lebih besar berbanding Menteri Besar.

Selain itu, beliau mendakwa Ismail masih mengekalkan individu daripada PH dalam kedudukan strategik kerajaan negeri, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai pengurusan fail berkaitan dakwaan salah laku dan rasuah pentadbiran terdahulu.

Mengulas pendirian Wawasan Negara, CheguBard menegaskan semua ADUN yang memenangi kerusi atas tiket PN perlu mematuhi disiplin parti.

“Wawasan Negara dan Perikatan Negara menegaskan semua ADUN yang menang atas nama PN tertakluk kepada disiplin parti.

“Kami mempertahankan kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional bersama Perikatan Nasional. BN dicadangkan menamakan MB baharu, apa juga ketetapan parti akan akur,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan menyerang parti secara terbuka, termasuk membabitkan ahli keluarga, sebagai langkah terdesak.

“Menyerang parti secara terbuka termasuk libat ahli keluarga adalah satu yang sangat terdesak,” katanya.

CheguBard menegaskan Ismail bukan pilihan Wawasan Negara sejak awal dan mandat rakyat perlu dihormati.

“Rakyat sudah memilih, kerajaan wajib berfungsi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles