MELAKA: Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa kenyataannya berhubung arahan penutupan premis perniagaan di Terengganu bukan bertujuan mempertikaikan kewajipan solat Jumaat, sebaliknya mempersoalkan kesan dasar itu terhadap peniaga bukan Islam.
Beliau berkata, kebimbangannya tertumpu kepada surat rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang didakwa mengarahkan semua premis perniagaan menghentikan operasi dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.
Menurutnya, persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaan kerajaan boleh dibincangkan secara rasional tanpa dianggap sebagai penghinaan terhadap mana-mana agama.
“Saya percaya dasar kerajaan boleh dibincangkan dan dipersoalkan secara rasional tanpa dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama,” katanya dalam penjelasan susulan kontroversi kenyataannya sebelum ini.
Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berpandangan pelaksanaan peraturan secara menyeluruh berpotensi menjejaskan kebebasan berniaga, khususnya peniaga bukan Islam yang tidak tertakluk kepada kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Beliau turut mengaitkan peraturan itu dengan pengaruh dasar keagamaan konservatif dalam pentadbiran awam, namun menegaskan penghormatan terhadap kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat tidak pernah dipersoalkan.
Kenyataannya sebelum ini mendapat teguran Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli yang menggesa beliau menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf.
Bagaimanapun, MBKT pada Januari 2024 menjelaskan arahan penutupan premis selama dua jam setiap Jumaat tidak melibatkan premis milik bukan Islam, kecuali premis makanan yang mempunyai pekerja Muslim.
Khoo turut mempersoalkan kemungkinan pelaksanaan peraturan sama di Melaka sekiranya kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri itu.
“Adakah wajar sekiranya penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan di negeri Melaka oleh kerajaan gabungan BN-PN? Jika dilaksanakan, bagaimana pula nasib perniagaan yang dijalankan oleh pelbagai kaum di Melaka?” soalnya.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Melaka perlu diambil kira dalam setiap dasar kerajaan, khususnya yang memberi kesan kepada kehidupan serta kegiatan ekonomi masyarakat.










