SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak pernah memberi persetujuan supaya surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, meskipun surat bertarikh 16 November 2026 itu berada dalam simpanan pihak parti, tindakan mengemukakannya kepada baginda bukan atas persetujuan beliau.
Ismail menjelaskan perkara itu bagi merungkai kekeliruan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan yang mencetuskan kemelut kepimpinan kerajaan negeri ketika ini.
“Saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Saya tidak pernah bersetuju surat ini dihantar dan saya juga tidak mahu menghantar sendiri surat ini kepada Tuanku,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini.
Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam kira-kira jam 10.17 pagi.
Ketibaan beliau menyusul keberangkatan Tuanku Muhriz ke istana berkenaan pada jam 9.36 pagi, sebelum diikuti kehadiran tiga Undang Luak, masing-masing dari Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan perkembangan kemelut jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berhubung dakwaan peletakan jawatan Ismail baru-baru ini.










