KUANTAN: Pulau Tioman berpotensi beralih kepada sumber tenaga lebih bersih menerusi projek solar terapung berkapasiti 780 kilowatt (kW) yang dicadangkan sebagai alternatif kepada bekalan elektrik berasaskan diesel.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan projek penyelidikan itu yang dilaksanakan TNB Research dengan kerjasama SolarDuck dan Hydro bagi mengkaji kebolehlaksanaan teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia.
Menurutnya, inisiatif itu selari dengan aspirasi menjadikan Pulau Tioman sebagai Pulau Tenaga Hijau, selain berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan diesel dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek berkenaan perlu mengambil kira aspek perundangan dan teknikal kerana lokasi dicadangkan terletak dalam kawasan Taman Laut serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
“Pelaksanaannya perlu mendapatkan kelulusan dan mematuhi syarat-syarat teknikal serta perundangan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Tioman) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Wan Rosdy berkata, teknologi solar terapung itu turut berpotensi diperluaskan ke gugusan pulau dan tasik lain di negeri ini, sekiranya lokasi berkenaan sesuai.
Namun, katanya, penilaian perlu merangkumi keupayaan sistem grid menerima kapasiti tambahan, daya maju ekonomi, kos infrastruktur serta kesan terhadap ekosistem marin dan biodiversiti.
Kerajaan negeri, katanya, akan meneliti hasil penyelidikan projek perintis di Tioman sebagai asas menilai potensi pelaksanaan teknologi berkenaan di lokasi lain yang bersesuaian, dengan memastikan pembangunan tenaga baharu dilakukan secara terancang dan mampan.










