IPOH: Tindakan kejam seorang wanita dipercayai menikam bayi perempuan yang baru dilahirkannya sebelum meminta bantuan teman lelaki untuk menanam mayat mangsa di belakang rumah terbongkar selepas seorang rakannya tampil membuat laporan polis.
Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu di sebuah rumah di Pantai Remis, dekat sini, membabitkan suspek berusia 19 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu terhadap bayi kandungnya yang baru beberapa jam dilahirkan.
Menurutnya, suspek kemudian menghubungi teman lelakinya untuk membantu menanam mayat bayi berkenaan di kawasan belakang rumah.
Perbuatan itu bagaimanapun terbongkar selepas wanita terbabit menceritakan kejadian berkenaan kepada seorang rakannya.
“Rakannya yang rasa bersalah membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan wanita itu dan teman lelakinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, lapor Bernama.
Alwi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua kesan tikaman pada bahagian dada bayi berkenaan yang dipercayai dilakukan menggunakan senjata tajam.
Senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan bagi membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari sehingga 23 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, wanita berkenaan akan menjalani pemeriksaan psikiatri bagi mengenal pasti tahap kesihatan mentalnya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kes.










