Lebih 300,000 Pekebun Kecil Getah Bakal Nikmati Kenaikan IPG 10 Peratus

KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 pekebun kecil getah di seluruh negara dijangka menerima manfaat daripada kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak 10 peratus menerusi Belanjawan MADANI 2027.

Menerusi pelarasan itu, kadar PHP IPG dinaikkan daripada RM3 kepada RM3.30 sekilogram bagi membantu melindungi pendapatan pekebun kecil, khususnya ketika harga getah berada pada paras rendah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan untuk meringankan beban golongan pekebun kecil yang berdepan tekanan peningkatan kos input pertanian.

Beliau menjelaskan perkara itu menerusi Jawapan Bertulis Pertanyaan Lisan daripada Ahli Parlimen Rompin di Dewan Rakyat, pada 18 November lalu, berhubung isu kenaikan kos input pertanian dan keperluan menyemak semula kadar IPG.

Selain peningkatan PHP IPG, kerajaan turut menyediakan bantuan BUDI Agrikomoditi sebanyak RM400 sebulan kepada pekebun kecil yang memenuhi syarat kelayakan bagi membantu mengurangkan beban kos diesel.

Dalam pada itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan terus memantau perkembangan kos input pertanian serta memperkukuh mekanisme sokongan bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan pendapatan pekebun kecil getah terus terbela.

Langkah berkenaan dilihat penting bagi memastikan golongan pekebun kecil tidak terus terhimpit dengan peningkatan kos operasi, selain membantu mengekalkan daya tahan sektor getah negara.

BBerkaitan

Latest articles