Hampir 194,000 Pekebun Kecil Sawit Persendirian Peroleh Pensijilan MSPO

PUTRAJAYA: Hampir 194,000 pekebun kecil sawit persendirian di negara ini telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat September 2026, mencerminkan usaha memperkukuh amalan kemampanan dalam sektor agrikomoditi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata bagi memastikan produk agrikomoditi Malaysia kekal berdaya saing serta memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada ESG Summit 2026 sempena Festival Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sidang kemuncak bertemakan From Dialogue to Declaration itu memberi tumpuan kepada usaha mengubah komitmen ESG daripada perbincangan kepada pelaksanaan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat.

Noraini berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu kira-kira 4,500 pekebun kecil sawit melaksanakan program tanam semula, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti dan pendapatan mereka.

Selain itu, sebanyak RM15 juta disediakan bagi usaha pemuliharaan biodiversiti, termasuk perlindungan habitat spesies terancam melalui dana ses industri sawit.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam sektor agrikomoditi bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran.

Dalam masa sama, pelaksanaan ESG perlu bersifat adil dan inklusif supaya pekebun kecil tidak terbeban atau tercicir dalam memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, termasuk Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurutnya, kejayaan agenda kemampanan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan komitmen yang digariskan mampu menghasilkan perubahan sebenar kepada sektor agrikomoditi negara.

BBerkaitan

Latest articles