KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan keputusan MISC Berhad untuk melabur RM3.03 bilion dalam cadangan pengambilalihan Yinson Holdings Berhad, dengan sebahagian besar pembiayaan transaksi itu dijangka menggunakan pinjaman baharu.
Beliau berkata, daripada jumlah pelaburan berkenaan, sebanyak RM2.27 bilion atau 75 peratus dijangka dibiayai melalui pinjaman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional MISC menanggung komitmen hutang yang besar.
Menurutnya, cadangan penswastaan Yinson yang dikemukakan pada 6 November lalu membabitkan tawaran RM4.03 bilion bagi mengambil alih baki 55.2 peratus saham syarikat berkenaan.
“Mengapa MISC perlu menanggung komitmen hutang sebesar ini?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Ahmad Fadhli berkata, menurut firma penyelidikan CGS International, nisbah hutang bersih kepada ekuiti Yinson boleh mencecah 3.1 kali sekiranya instrumen pembiayaan tertentu turut dikategorikan sebagai hutang.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa tiada bukti penyelewengan dalam transaksi berkenaan setakat ini, namun struktur pembiayaan dan tahap keberhutangan Yinson memerlukan penjelasan terperinci.
“Adakah ini benar-benar pelaburan strategik yang menguntungkan MISC atau satu lagi bentuk bailout terselindung yang berpotensi memberi manfaat kepada pihak tertentu?” soalnya.










