PTPTN RM1,500 Bantu Pelajar B40 Daftar Universiti – Adam Adli

KUALA LUMPUR: Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang layak menerima bantuan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 bagi membantu menampung kos awal kemasukan ke universiti awam dan politeknik.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif bagi memastikan kekangan kewangan tidak menghalang pelajar daripada keluarga B40 meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menurutnya, bantuan berkenaan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, penginapan, makanan dan minuman serta pengangkutan sepanjang tempoh pengajian.

“Antaranya bantuan untuk yuran pengajian termasuk Wang Pendahuluan Pinjaman bernilai RM1,500 oleh PTPTN untuk pelajar B40 yang layak sebelum mereka mendaftar ke universiti awam atau politeknik.

“Selain itu, mulai tahun ini, kerajaan memperkenalkan Biasiswa Anak Ihsan PTPTN iaitu pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data Ihsan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat pada Rabu.

Adam Adli berkata, kemudahan biasiswa itu diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian diploma atau ijazah sarjana muda sepenuh masa di IPT awam yang diluluskan pinjamannya bermula 1 Januari 2026.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung bagi menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada generasi pertama keluarga B40 yang belum mempunyai ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam.

Selain itu, pelbagai bantuan kewangan lain disediakan termasuk Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK), Bantuan Kewangan Asasi (BKA) serta Dermasiswa B40 TVET bagi pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam aspek penginapan, beliau berkata, sebanyak 15 projek pembinaan kolej kediaman disiapkan menerusi kaedah kerjasama awam swasta (PPP) dari 2021 hingga 2025, dengan kapasiti keseluruhan sehingga 45,000 pelajar.

Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan turut merancang membangunkan lima kolej kediaman baharu di universiti awam menerusi kaedah sama yang dijangka menyediakan kapasiti sehingga 21,000 pelajar.

“Pada 2027, kementerian diperuntukkan RM800 juta bagi tujuan penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPT awam termasuk asrama atau kolej kediaman,” katanya.

Menurutnya, KPT turut bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa, termasuk pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya Fasa 1 yang dijangka siap pada 2031 dan memberi manfaat kepada 10,000 pelajar.

Selain itu, pelaburan sebanyak RM750 juta oleh Khazanah Nasional turut disediakan bagi pembangunan projek Vista Campus di enam universiti terpilih.

Bagi meringankan beban kos makanan, Adam Adli berkata, KPT melaksanakan inisiatif Dapur Siswa atau Dapur Siswa MADANI yang menyediakan makanan percuma dua kali sehari menggunakan kemudahan dapur dan bahan mentah di kolej kediaman universiti awam.

Dalam aspek pengangkutan pula, kerajaan melaksanakan inisiatif FlySiswa dengan memberikan subsidi pembelian tiket penerbangan dalam bentuk kredit bernilai RM400 kepada pelajar IPT warganegara Malaysia, khususnya bagi perjalanan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, jumlah bantuan itu akan dinaikkan kepada RM500 menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan pada 2027.

Menjawab soalan tambahan Shamsulkahar mengenai kecukupan pembiayaan PTPTN dan bantuan kewangan sedia ada susulan peningkatan kos sara hidup, Adam Adli berkata, kerajaan sentiasa meneliti keperluan penambahbaikan bantuan kepada mahasiswa.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober 2023 telah meluluskan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar sedia ada dan baharu di bawah program tajaan KPT berkuat kuasa 1 Januari 2024.

“Pelaksanaan kenaikan ESH ini melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM32 juta setahun mulai 2024.

“Bagaimanapun, bagi pinjaman PTPTN, kita perlu melihat dari semasa ke semasa bentuk pinjaman yang boleh diberikan kepada pelajar berdasarkan kutipan semula PTPTN dan ketetapan semasa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada penyaluran bantuan melalui pelbagai mekanisme lain bagi memastikan kebajikan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah terus terbela.

BBerkaitan

Latest articles