Ahmad Yakob Dilantik Mursyidul Am PAS, Mahfodz Mohamed Timbalan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Mursyid Am PAS yang baharu.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS yang berlangsung pada Selasa.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, mesyuarat berkenaan turut memutuskan pelantikan Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai Timbalan Mursyid Am.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Ustaz Mohd Asri Mat Daud pula dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

“Semoga kepimpinan yang diamanahkan ini terus memperkukuh peranan Majlis Syura Ulama dalam membimbing perjuangan PAS berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

“Tahniah dan selamat menjalankan amanah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, Majlis Syura Ulama PAS turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Hashim Jasin atas khidmat bakti dan sumbangan sepanjang memegang amanah sebagai Mursyid Am PAS.

Penghargaan turut diberikan kepada Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh atas jasa dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

“Segala sumbangan, pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan amat dihargai.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya serta terus memberkati perjuangan dan khidmat mereka dalam perjuangan Islam,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles