KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium RM1,000 tidak seharusnya dijadikan polemik kaum atau politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha melindungi warisan sejarah negara.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata kelulusan itu munasabah, berasas dan sah di sisi undang-undang memandangkan KLSCAH merupakan bangunan bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.
Beliau turut menggesa Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan semua pihak berkaitan supaya menilai keputusan berkenaan secara objektif dengan mengambil kira latar belakang sejarah, kepentingan pemeliharaan warisan serta kepentingan awam.
Menurutnya, KLSCAH yang ditubuhkan pada 1923 bukan sekadar bangunan ikonik, malah menjadi saksi penting perjalanan politik dan pembentukan masyarakat majmuk di negara ini.
Bangunan berkenaan siap dibina pada 1934 menggunakan tanah yang gerannya diberikan Sultan Selangor, yang turut berkenan merasmikan pembukaannya.
Pada 6 Julai 2007, KLSCAH diiktiraf sebagai antara Tapak Warisan Kebangsaan terawal oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
Sin Woon berkata, bangunan itu turut mencatat sejarah apabila MCA ditubuhkan di lokasi berkenaan pada 27 Februari 1949, selain menjadi tempat pemimpin pelbagai kaum berganding bahu dalam perjuangan mencapai kemerdekaan.
Malah, bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood turut mencatat sejarah sebagai pasangan Melayu pertama mengadakan majlis perkahwinan di bangunan itu pada 4 September 1965.
Mengulas pertukaran kategori penggunaan tanah kepada institusi, beliau berkata, KLSCAH secara sukarela bersetuju dengan perubahan status berkenaan bagi memastikan nilai warisan bangunan itu terus terpelihara.
Katanya, keputusan itu juga bermakna KLSCAH melepaskan potensi komersial tanah berkenaan yang boleh dimajukan sebagai projek kondominium bertingkat tinggi atau pusat beli-belah.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghormati pengiktirafan kerajaan terhadap bangunan berkenaan dan tidak menjadikan isu pemeliharaan warisan sebagai medan pertikaian politik.
“Pemeliharaan warisan tidak boleh dibuat secara terpilih atau ditentukan oleh sentimen politik.
“Warisan negara milik semua rakyat Malaysia. Melindunginya adalah tanggungjawab bersama, bukannya pertandingan kaum atau politik,” katanya.
Sin Woon menegaskan, setiap tapak yang diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, tanpa mengira asal-usul atau latar belakang sejarahnya, wajar menerima sokongan dan perlindungan sewajarnya daripada kerajaan.










