KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Ismail Lasim melepaskan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan disifatkan lebih beretika berbanding tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa sering menunjukkan percanggahan pendirian secara terbuka.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan Ismail mengutus surat peletakan jawatan adalah langkah rasional apabila beliau tidak lagi sehaluan, selain mengutamakan kestabilan dan keharmonian negeri.
Menurutnya, Ismail mengambil pendekatan sewajarnya dengan tidak terus mempertahankan kedudukan apabila wujud perbezaan pendirian.
“Apabila tidak sehaluan tunggu apa lagi. Dia akur kestabilan dan harmoni diutamakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan Ismail sudah mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pihak istana hari ini memaklumkan belum mengesahkan kesahihan surat berkenaan, selain menegaskan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Ismail dijadual menghadap Tuanku Muhriz Jumaat ini ketika kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu masih belum menemui penyelesaian.
Mengulas lanjut, Puad berharap Ismail tampil mendedahkan pihak yang didakwa memberi tekanan kepadanya sehingga menjejaskan kestabilan politik negeri itu hampir empat bulan.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengkritik Zahid yang didakwa kerap memperlihatkan percanggahan pendirian secara terbuka sehingga menjejaskan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah, beliau mendakwa Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mula mengikut pendekatan sama susulan tindakan menyampaikan pantun berunsur sindiran terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika persidangan Dewan Rakyat, semalam.
“Tindak-tanduk Zahid yang suka bercanggah secara terbuka mencemar konsep kerajaan perpaduan. Sekarang Ahmad Maslan terikut-ikut cara Zahid,” katanya.
Selain itu, Puad menyatakan sokongan terhadap tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang meminta Zahid mengemukakan penjelasan bertulis berhubung isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa mengelirukan Parlimen.
Beliau berpandangan Johari perlu mendedahkan penjelasan dikemukakan Zahid memandangkan tempoh akhir yang ditetapkan, iaitu 12 November lalu, sudah berlalu.
Puad turut menyokong cadangan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya Zahid dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya siasatan mendapati wujud unsur pembohongan kepada Dewan Rakyat.










