Malaysia Sasar Pelaburan Perancis Dalam Pemprosesan Nadir Bumi

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memperluaskan pelaburan asing dari Perancis dalam sektor strategik, khususnya pemprosesan nadir bumi, semikonduktor, aeroangkasa dan pertahanan, susulan potensi besar kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia terbuka meneroka kerjasama dalam industri nadir bumi dengan memastikan setiap aktiviti pemprosesan dilaksanakan secara selamat serta tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, usaha memperkukuh sektor berkenaan memerlukan asas kepercayaan dan komitmen bersama bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dicapai tanpa mengorbankan kepentingan alam sekitar.

“Pemprosesan nadir bumi antara bidang yang sangat kami berminat untuk menarik pelaburan dan memperluas aktivitinya, dan kami melaksanakannya dengan cara selamat untuk alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini.

Macron turut menyatakan kesediaan Perancis meneroka kerjasama dalam sektor nadir bumi bersama Malaysia menerusi pendekatan yang mengutamakan sikap saling menghormati dan manfaat bersama.

Anwar berkata, pelaburan Perancis di Malaysia menunjukkan peningkatan, manakala sektor aeroangkasa, pertahanan dan semikonduktor terus menawarkan ruang lebih luas untuk kedua-dua negara memperkukuh hubungan ekonomi.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluaskan hubungan dalam bidang pendidikan dan kebudayaan, termasuk menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi Perancis.

Selain itu, kedua-dua negara perlu meneruskan usaha menterjemahkan karya klasik Melayu ke bahasa Perancis dan karya klasik Perancis ke bahasa Melayu bagi memperkukuh pertukaran budaya.

Menyentuh isu antarabangsa, Anwar menyambut baik pendirian Perancis berhubung Palestin dan konflik di Semenanjung Gaza, yang disifatkannya sebagai suara berasaskan nilai kemanusiaan.

Beliau turut menegaskan Malaysia menentang perang Rusia di Ukraine, namun pada masa sama mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Sementara itu, Macron berkata, Perancis turut berminat memperluaskan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, selain memperkukuh hubungan dalam sektor pertahanan, keselamatan serta ekonomi.

Menurutnya, hubungan kedua-dua negara berpotensi diperkukuh bagi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan masing-masing tanpa perlu mengambil pendekatan konfrontasi terhadap kuasa besar.

Beliau menegaskan Perancis tidak mengamalkan dasar dwistandard, sebaliknya kekal berpegang kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk prinsip menghormati hak rakyat, kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara.

Macron turut menyentuh Deklarasi New York pada Julai 2025 serta keputusan Perancis mengiktiraf Palestin sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik negara itu dalam mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.

Katanya, Perancis bekerjasama dengan beberapa negara bagi mengusahakan penyelesaian secara aman untuk menamatkan peperangan serta menangani krisis kemanusiaan di rantau itu.

Beliau turut menegaskan sokongan Perancis terhadap kedaulatan Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Rusia, sambil menyatakan pendirian negaranya kekal konsisten dalam mempertahankan prinsip berkenaan.

Lawatan rasmi Macron ke Malaysia selama dua hari bermula Isnin atas jemputan Anwar itu merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan berkenaan bertujuan meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap perkongsian strategik, meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

BBerkaitan

Latest articles