Hina Agama: Polis Terima 348 Laporan Berkaitan Zamri Vinoth, Cikgu Chandra

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 348 laporan polis berkaitan Zamri Vinoth dan Cikgu Chandra berhubung isu pembinaan kuil serta rumah ibadat bukan Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 296 laporan berkaitan Zamri Vinoth, manakala 52 lagi melibatkan Cikgu Chandra.

Menurutnya, empat laporan berkaitan Zamri Vinoth telah dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Satu laporan lagi dirujuk kepada agensi lain, manakala 291 laporan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Repot (RLR).

“Subjek kini berhadapan dengan pertuduhan rasmi di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Jabatan Peguam Negara telah menolak permohonan representasi awal pihak pembelaan dan memohon perbicaraan penuh dijalankan, yang mana mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 21 April 2027,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Bagi Cikgu Chandra pula, Saifuddin berkata, empat daripada 52 laporan polis diterima telah dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Beliau menjawab soalan Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong) yang meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap individu termasuk Ridhuan Tee, Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan Cikgu Chandra yang didakwa bebas menghina agama lain serta mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan kebencian.

Saifuddin menegaskan tanggapan bahawa keempat-empat individu terbabit dibiarkan membuat kenyataan kontroversi tanpa tindakan adalah tidak tepat kerana rekod penguatkuasaan PDRM bagi 2026 menunjukkan tindakan perundangan telah dan sedang dihadapi mereka.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat terhadap Ridhuan Tee susulan hantaran di Facebook yang didakwa menyentuh isu perkauman dan mengandungi kenyataan bersifat provokatif.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sebanyak tiga laporan polis diterima terhadap Firdaus Wong Wai-Hung dan satu daripadanya dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506, Seksyen 505(c), Seksyen 298 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Secara jelas dan tegas, di Malaysia tiada mana-mana individu yang diberikan kebebasan atau pengecualian untuk menghina agama, melakukan hasutan atau menyebarkan kebencian.

“Setiap tindakan penguatkuasaan hendaklah berasaskan laporan polis, fakta, rantaian bukti, hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang terpakai tanpa mengira agama, kaum, status atau kedudukan seseorang,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan bersuara dan beragama tetap tertakluk kepada undang-undang, khususnya apabila sesuatu kenyataan disyaki mempunyai unsur yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian antara kaum dan agama.

Tambahnya, prinsip penguatkuasaan itu selaras dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang serta berhak mendapat perlindungan yang sama.

Katanya, sebarang dakwaan penghinaan agama dalam masyarakat berbilang kaum perlu dinilai berdasarkan fakta dan undang-undang, bukannya status seseorang sebagai mualaf atau pendakwah.

PDRM bertanggungjawab menjalankan siasatan, manakala kuasa memulakan pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Pendakwa Raya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles