KUALA LUMPUR: Tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial serta masalah kewangan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada masalah kemurungan dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan prevalens kemurungan bagi kumpulan berusia 16 hingga 19 tahun ialah 7.9 peratus, manakala kumpulan umur 20 hingga 29 tahun mencatatkan 7.6 peratus.
Beliau berkata, secara keseluruhan, prevalens kemurungan dalam kalangan penduduk berumur 16 tahun ke atas ialah 4.6 peratus, bersamaan kira-kira satu juta orang.
“Pelbagai faktor menyumbang kepada masalah kesihatan mental golongan muda antaranya faktor tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial dan masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah kerajaan menangani masalah kesihatan mental yang kritikal, khususnya dalam kalangan golongan muda yang berdepan tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan akibat tekanan akademik, masalah keluarga serta media sosial.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat bagi menangani isu berkenaan.
Katanya, antara langkah dilaksanakan ialah reformasi kesihatan mental menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang berperanan sebagai agensi penyelaras pembangunan dasar, perkhidmatan, latihan dan modal insan serta aktiviti kesihatan mental rentas kementerian.
Selain itu, KKM turut melaksanakan Kempen Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua bagi meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan golongan muda melalui pendekatan behavioural insights (BI).
Menurutnya, perkhidmatan bantuan sokongan psikososial dan intervensi awal krisis kesihatan mental turut disediakan menerusi talian tele-kaunseling HEAL 15555 yang mudah diakses khususnya golongan muda.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan kesihatan mental berasaskan pendekatan sepanjang hayat turut disediakan menerusi 1,116 klinik kesihatan, 72 hospital dan 40 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh negara.
KKM juga melaksanakan Program Siswa Sihat (PROSIS) di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan memberi penekanan terhadap kepentingan kesihatan mental, pengukuhan kemahiran daya tindak (coping skills) serta daya tahan dalam kalangan belia.
Selain itu, aktiviti advokasi kesihatan mental turut dilaksanakan menerusi latihan kepada golongan muda yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara 3.0, Kem Belia dan Rakan Prihatin.
Dzulkefly berkata, usaha berkenaan turut diperluaskan kepada golongan pekerja menerusi program kesedaran kesihatan mental bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat serta sokongan emosi kepada pekerja.
Ia termasuk latihan Occupational Psychological First Aid (OPFA) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“KKM akan terus memperkukuh usaha memperkasa kesihatan mental rakyat dan pencegahan tingkah laku bunuh diri terutamanya dalam golongan muda.
“Tanggungjawab ini perlulah dipikul secara bersama demi melahirkan generasi muda yang sejahtera dari segi mental dan mampu menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.










