Anwar Tegaskan Kerajaan Stabil, Tiada Keperluan Rombak Kabinet

MANILA: Kerajaan kekal stabil dan tidak berdepan keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet, meskipun peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai Menteri Pengangkutan mencetuskan pelbagai spekulasi politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pentadbiran negara tidak akan terganggu dengan polemik berkenaan, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar serta kepentingan rakyat.

Beliau berkata, urusan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dengan semua menteri daripada pelbagai parti terus bekerjasama, berbincang dan mencapai kesepakatan dalam menentukan hala tuju negara.

“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.

“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif,” katanya.

Anwar berada di Manila bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November, yang berlangsung di bawah kepengerusian Filipina bertemakan Navigating Our Future, Together.

Mengulas keputusan Loke melepaskan jawatan dalam Kabinet, Anwar berkata beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, walaupun sebelum ini telah meminta beliau mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Menurutnya, peletakan jawatan itu belum diterima secara rasmi, namun beliau menghormati prinsip yang dipertahankan Loke.

“Beliau atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan,” katanya.

Anwar turut menjelaskan perbezaan pendirian antara parti dalam kerajaan campuran bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan dinamika politik di peringkat Persekutuan dan negeri boleh berbeza.

Loke pada 10 November lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan ruang perbincangan bagi menyelesaikan perbezaan pandangan antara pemimpin parti dan anggota pentadbiran sentiasa terbuka, sama ada melalui pertemuan rasmi mahupun tidak rasmi.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya kerajaan sedang berdepan krisis kestabilan, sebaliknya menyifatkan naratif berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen politik pihak tertentu.

“Apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah semata-mata agenda berkempen. Namun buat masa ini, kekal pada landasan, teruskan bekerja.

“Apa yang penting, kita berikan yang terbaik untuk negara ini,” katanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles